Masa saya kecil, saya masih ingat lagi, abah jarang bawa balik kerja dia pulang ke rumah. Boleh di bilang dengan jari, berapa kali dia bawa balik landscape blue print dia. Itu pun masa saya masih di sekolah rendah. Abah akan suruh kami adik beradik tolong color untuk dia. Kami semua suka mewarna. Tapi dengan syarat kena warna cantik-cantik. Sebagai balasan abah akan bagi RM3 untuk satu blueprint. Sukanya kami dapat mewarna.
Selain tu abah tak pernah bawa balik kerja dia.
Abah akan balik ke rumah pukul 6 petang. Pukul 6 mesti dia dah ada kat rumah. Bila azan maghrib berkumandang, abah akan segera ke masjid untuk berjemaah di sana. Balik sahaja dari masjid, abah akan mengajar kami adik beradik baca Al-Quran. Kadang-kadang kami dengar abah tazkirah, cerita pasal nabi-nabi, cerita pasal akhirat dan macam-macam lagi. Abah sangat jarang tengok tv. Tapi dia suka tengok cerita Jackie Chan dan Berita Dunia Jam 10. Setiap hari Khamis pulak ada rancangan Hal Ehwal Islam.
Abah adalah orang pertama sekali bangun pagi, pukul 5 pagi dah dengar abah mandi. Sebelum abah pergi masjid untuk solat Subuh, dia akan kejut kami semua. Kalau hari bekerja, abah akan balik semula ke rumah lepas dah berjemaah, tapi kalau hari ahad biasanya abah balik lewat sedikit, dalam pukul 8 untuk dengar tazkirah pagi.
Soalan favorite abah adalah "Dah solat ke belum?", kalau kami keluar rumah, jalan-jalan dengan kawan-kawan dia akan telefon, tanya ada kat mana. Nak solat nanti dekat mana?. Itu soalan wajib abah. Sampaikan saya dah berkahwin dan punya anak, abah masih tanya soalan ini.
Masa kecil, kalau lambat solat, musti rotan dah hinggap kat tapak kaki.
Saya boleh katakan abah adalah seorang yang sangat amanah. Mak saya cerita, dia nak pinjam pen office abah untuk tulis sesuatu pun abah tak bagi, abah kata itu adalah hak kerajaan. Macam cerita Khalifah Umar pulak kan. Pernah handphone abah habis bateri, dia telefon mak guna public phone, walaupun dekat office dia ada telefon. Hehe.
Walaupun saya bukanlah seorang yang alim, tapi saya bersyukur punyai abah seperti abah yang telah mendidik saya. Walaupun saya banyak melakukan kesalahan, sekurang-kurangnya didikan abah boleh membawa saya pulang ke pangkal jalan bila saya mengingatkan kembali pesanan abah.
Saya berharap saya mampu jadi seperti abah, saya berusaha untuk tidak membawa pulang kerja-kerja office balik ke rumah. Saya cuba untuk meluangkan masa bersama suami dan anak tersayang. Saya mahu mengajar anak-anak saya mengenai Islam, mengajarnya Al-Quran, sirah-sirah nabi. Mahu solat berjemaah dengannya. Melihat dia mencium tangan saya setiap kali selepas solat berjemaah.
Hidup ini bukan hanya untuk dunia, cukupkah persediaan saya untuk akhirat. Saya mahu anak saya dididik dengan Islam. Sebagai persiapan untuk dia menghadapi dunia ini. Dan juga bekalan untuk akhiratnya.
Hidup ini bukan hanya kerja. Kerja itu adalah satu ibadah. Insyaallah saya mahu berniat bekerja kerana Allah.
Dan juga saya mahu jadi role model kepada anak-anak saya. Anak-anak tidak akan mendengar cakap kita, tapi dia akan melihat setiap perbuatan kita. Kita adalah role model kepada mereka. Saya harap saya tidak akan menunjukkan contoh yang tidak baik pada dia.
Dahulu kalau saya minum air, saya selamba sahaja minum berdiri, tapi sejak punyai anak, bila saya mahu minum air berdiri, saya terpandang anak yang sedang melihat saya, saya bertanya pada diri sendiri, bagaimana kalau dia melihat perbuatan saya ni, pasti dia akan menirunya suatu hari nanti. Saya batalkan niat saya, dan terus duduk untuk minum.
Walaupun dia masih kecil dan tak mengerti apa-apa, dan saya tak mula menunjukkan contoh yang baik pada dia, saya takut saya akan menyesal apabila sudah terlambat dengan beranggapan "tak apa dia masih kecil dan tak tahu apa-apa".
Menjadi ibu bapa bukan la sekadar menukar lampin, memberi susu, mendodoikan apabila dia mahu tidur, membeli pakaian dan keperluan zahirnya, tapi yang amat mustahak sekali adalah memberi keperluan rohaninya. Mendidik jiwanya dengan agama Islam.
Abah dan emak adalah role model saya.
Teringat lagu masa kecil-kecil dulu.
Satu-satu saya sayang Allah,
Dua-dua sayang Rasulullah,
Tiga-tiga sayang Ibu bapa,
Satu, dua, tiga, sayang semuanya..
No comments:
Post a Comment